Getaran Jiwa : Abang bomba dan artis budaya tunjuk taring

Spread the love

KUCHING, 29 Okt : Konsert minggu kedua Getaran Jiwa menyaksikan anggota Bomba, Suili George muncul sebagai peserta terbaik sekaligus menempah tiket ke separuh akhir.

Suili, 35, dari Sabah berjaya memikat juri menerusi lagu Malam Ku Bermimpi, karya Seniman Agung,Tan Sri P. Ramlee.

Ditemui TVS selepas konsert, Suili berkata, dia berpuas hati dengan persembahannya apabila berjaya meraih 54 mata iaitu 70 peratus menerusi juri profesional dan 30 peratus lagi oleh juri awam.

“Saya berasa sangat lega selepas lima hari berada di sini membuat persiapan, akhir mara ke peringkat seterusnya.

“Selepas ini saya akan terus fokus untuk memberikan persembahan yang terbaik dan mungkin akan tampil susunan muzik yang sedikit berlainan pada konsert akan datang,”katanya.

Stadium MBKS di Bintawa turut menyaksikan kemaraan wakil Sarawak, Mady Spuan yang menduduki tempat kedua selepas mengumpul 50 markah.

Mengalunkan lagu Zuraidah, artis budaya berusia 35 tahun itu tidak kurang hebatnya apabila memberikan persembahan yang mendapat tepukan gemuruh penonton.

Mady berkata, dia akan memperkemaskan persembahannya selepas ini dan memberikan yang terbaik untuk Sarawak.

“Saya janji akan tampil dengan persembahan yang lebih ‘wow’ pada separuh akhir,” katanya.

Sementara itu, ketua juri, Dato Nash berkata, pemilihan kedua – dua peserta dibuat secara sebulat suara oleh ketiga-ketiga juri setelah melihat penyampaian mereka yang lebih baik berbanding enam peserta lain.

“Suili mempunyai jiwa sebagai penyanyi, saya suka nada rendahnya walaupun ada perubahan antara ‘first beep’ sebelum masuk ‘breach’ tapi saya nampak dia dapat melaksanakannya malah aura lagu itu tidak lari dan persembahannya mempunyai nilai tambah,”katanya.

Persembahan bersahaja Mady pula katanya telah meyakinkan barisan juri termasuk Norafizah Busman serta juri jemputan Ayai Illusi.

“Mady berjaya memasukkan jiwanya ke dalam lagu itu dan juri berpendapat, dia mempunyai potensi,”katanya.

Sementara itu, Nash mengakui persembahan peserta pada minggu kedua lebih baik pada konsert minggu lepas.

“Peserta pada minggu ini yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi,”katanya.

Enam peserta lain yang kurang bernasib baik ialah Rina Ramlee, Shamsul, TCY Agnes, Jamilah Pesan, Irwan dan Shazlan.

Minggu kedua menyaksikan lapan peserta iaitu lima dari Sarawak dan tiga dari Sabah berentap membawa seleksi lagu P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.

Konsert Getaran Jiwa yang bertemakan ‘Irama mengimbau kenangan’ dihoskan oleh Sissy Iman dan Jiggy Masin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Media Group (SMG) Rizal Zulkapli dan Pengurus Saluran TVS, Aizal Ibrahim.

Konsert ketiga Getaran Jiwa akan kembali menemui penonton pada 4 November depan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.