PRU-15: Kebajikan pengundi muda wajar diberi perhatian

Spread the love

KUCHING, 26 Okt: Kebajikan dan keperluan pengundi muda perlu diambil kira jika ingin memenangi hati golongan ini, kata Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato’ Seri Tiong King Sing.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini kita akan menyaksikan golongan muda turut bersama-sama dalam menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara. Bagaimanapun mereka dilihat masih belum berminat.

“Oleh yang demikian kita perlu memberi perhatian kepada mereka serta pendedahan mengenai kepentingan mengundi,” katanya menerusi rancangan Malaysia Decides terbitan TVS di sini, hari ini.

Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong berkata, generasi muda di Sarawak juga perlu diberi penekanan mengapa mereka perlu memberi sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Generasi muda perlu memahami dan menilai sendiri dengan apa yang telah kerajaan Sarawak lakukan untuk rakyat di negeri ini,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon, undi awal pada 15 November manakala 19 November sebagai hari mengundi. – TVS.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.