Kastam rampas 13.6 juta batang rokok seludup

Spread the love

BUTTERWORTH, 21 Okt : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas hampir 13.6 juta batang rokok seludup bernilai kira-kira RM1.9 juta menerusi serbuan di sebuah gudang di sini, minggu lalu.

Dalam operasi kira-kira pukul 6.30 petang itu, pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Khas Zon Utara turut menyita 21,000 tin minuman keras bernilai RM41,808 dan 280 paket mercun bernilai RM1,120.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki berusia 35 hingga 46 tahun yang ketika itu sedang memunggah barangan berkenaan dari kontena.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai dua buah lori bonded berisi sejumlah rokok di kawasan gudang itu.

“Pemeriksaan di dalam gudang pula kita menemukan rokok, miniman keras dan mercun tidak bercukai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ujar Hamisan, siasatan mendapati rokok yang dirampas itu membabitkan cukai bernilai lebih RM9 juta selain minuman keras dengan cukai kira-kira RM195,000 dan mercun sebanyak RM728.

“Modus operandi adalah dengan memalsukan dokumen kastam bagi mengeluarkan kontena tidak diikrar selain mengisytihar dagangan sebagai kertas tisu,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.