Sarawak kekal model masyarakat harmoni dan saling menghormati – Abang Johari

Spread the love

MIRI, 10 Okt : Sarawak akan terus mengamalkan konsep Ta’ayush secara harmoni dan bersahaja, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, konsep ini membawa bermaksud kebersamaan hidup tanpa prejudis dan syak wasangka membabitkan hal kepercayaan beragama.

“Konsep survival hidup di Sarawak hari ini ialah secara bersama-sama membina kehidupan yang saling memerlukan dan mengiktiraf kebaikan di antara satu sama lain bagi mengekalkan perpaduan.

“Di negeri ini, tiada siapa yang boleh menyakiti hati agama lain dengan membanding atau merendah-rendahkan kepercayaan orang lain yang tidak seagama.

“Sarawak tetap kekal sebagai model masyarakat yang saling bekerjasama dan hormat di antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Terdahulu, Tun Abdul Taib dan Toh Puan Raghad mengetuai perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1444H pagi ini.

Sebanyak 142 kontinjen menyertai perarakan dengan membabitkan keseluruhan seramai 8,766 orang peserta.

Perarakan bermula di Stadium Miri ke Jalan Bintang dan melalui beberapa laluan termasuk Jalan Merdu, Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Nakhoda-Gampar, Jalan North Yu Seng, Jalan Merpati, Bulatan Kipas, Jalan Bintang dan kembali semula stadium.

Sementara itu, Abang Johari turut menyeru semua pihak supaya menggunakan kesempatan menyambut Maulidur Rasul dengan melipatgandakan usaha supaya kemajuan dapat dicapai.

“Apa yang lebih penting, kita menggunakan peluang yang ada untuk terus mempertingkatkan daya kreativiti untuk memajukan agama, bangsa, negeri dan negara kita,” ujarnya.

Sarawak kekal model masyarakat harmoni

Beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana umat Islam di Sarawak ini telah mengorak langkah untuk menjadi warga yang berilmu pengetahuan.

Katanya, saban tahun generasi muda Islam telah berkecimpung dalam pelbagai bidang sehingga ke peringkat kebangsaan malah antarabangsa. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.