Pembubaran Parlimen tempoh terdekat sukar dielakkan

Spread the love

KUCHING, 6 Okt : Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara, petang tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al – Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dilihat menjurus kepada kemungkinan pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi.

Penganalisis politik di Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perkembangan petang tadi juga menunjukkan Barisan Nasional (BN) telah memberikan isyarat yang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat ‘sukar dielakkan’

“Saya melihat momentum BN untuk mengadakan pilihan raya sangat kuat.

“Pertemuan Perdana Menteri dan Seri Paduka juga berkemungkinan turut berbincang mengenai permohonan pembubaran parlimen.

“Saya jangka ianya (PRU-15) akan berlaku dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Petang tadi, Ismail Sabri tiba di Istana Negara pada pukul 3.48 petang untuk menghadap Seri Paduka.

Kenderaan membawa Ahli Parlimen Bera itu dilihat meninggalkan perkarangan istana kira- kira pukul 4.45 petang.

Selepas itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilaporkan menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi parti di Menara Dato Onn sehingga pukul 6.30 petang tadi.

Pada tengah hari tadi, ketika hadir di Kementerian Kewangan untuk meninjau persiapan pembentangan Bajet 2023, Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau berkemungkinan akan membawa cadangan tarikh pembubaran ketika sesi menghadap Seri Paduka. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.