UNIMAS teruskan kerjasama penyelidikan biodiversiti dengan pelbagai pihak

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 5 Okt: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, swasta dan komuniti dalam meneruskan penyelidikan kepelbagaian biologi.

Naib Canselor UNIMAS, Professor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata kedudukan UNIMAS dan Sarawak yang terletak di Borneo yang kaya dengan pelbagai jenis hidupan membolehkan kajian terus dilakukan dengan usahasama erat pelbagai pihak dalam dan luar negara.

Menurutnya, Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), UNIMAS telah bekerjasama dengan beberapa penyelidik antarabangsa dalam menjalankan kajian biologi.

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian program World Animal Day 2022 dan Hari Terbuka IBEC di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, UNIMAS pada Selasa (4 Oktober).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Professor Dr. Ahmad Hata Rasit, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Professor Dr. Kamarudin Kana dan Pengarah IBEC, Proffesor Madya Dr Mohd Azlan Jayasilan Abdul Gulam Azad.

Sementara itu, Dr Mohd Azlan berkata Program Hari Haiwan Sedunia 2022 dan Hari Terbuka IBEC diadakan bagi memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai kepentingan biodiversiti.

“Kita melentur buluh biar dari rebung. Dari peringkat awal kita memberi penekanan dan pendedahan kepada alam sekitar dan hidupan liar kepada masyarakat khususnya kawasan berdekatan dengan UNIMAS,” katanya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.