Lebih 10,000 dijangka hadir Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2022

Spread the love

KUCHING, 5 Okt : Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak tahun ini menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, pelbagai pengisian program telah dirangka untuk sambutan itu yang akan berlangsung selama tiga hari.

Katanya, pembukaan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dataran Perayaan Petra Jaya.

“Saya percaya orang ramai akan hadir ke sambutan tersebut kerana pelbagai program disediakan termasuk pameran kerjaya, pertandingan, riadah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini hari ini.

Katanya, sambutan berkenaan dijangka akan dihadiri ribuan pengunjung kerana diadakan semula selepas dua tahun ‘terhenti’ akibat pandemik COVID-19.

Kali terakhir sambutan berlangsung ialah pada Mei 2020 di Asajaya yang dilaksanakan dalam skala kecil susulan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurut Abdul Karim, sebanyak 18 program telah dirangka sepanjang tiga hari sambutan.

Kemuncak sambutan melibatkan penyampaian anugerah belia negeri lelaki dan wanita serta anugerah persatuan belia negeri yang akan membawa pulang hadiah sebanyak RM27,000. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.