Fauziah Latiff mahu ‘lepas rindu’ di Sarawak, makanan enak jadi buruan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 5 Okt : Penyanyi terkenal, Fauziah Latiff mengakui dia tidak sabar untuk terbang ke Sarawak bagi mengadili pertandingan realiti, Getaran Jiwa terbitan TVS.

Penyanyi berusia 52 tahun ini yang terkenal dengan seleksi lagu seperti Teratai Layu Di Tasik Madu, Enggan dan Dia berkata, dia teruja kerana ditawarkan peluang sebagai juri undangan pertandingan berkenaan.

Katanya, tawaran untuk terlibat dengan program berkenaan tidak mampu ditolak berikutan konsep Getaran Jiwa yang unik.

“Rancangan ini berbeza kerana mencari peserta yang dapat menyampaikan lagu – lagu nyanyian Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma, jadi saya berminat untuk turut serta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS selepas sidang media sempena pelancaran Getaran Jiwa di Rumah Tangsi, di sini semalam.

Rancangan selama lapan episod ini akan mula bersiaran pada 21 Oktober depan di saluran 122 Astro dan MyTV.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG), Rizal Zulkapli dan ketua juri, Dato Nash.

Sementara itu, penyanyi terkenal Sarawak, Norafizah Busman turut bertindak sebagai juri tetap dan akan dibantu oleh Noraniza Idris, Erra Fazira, Faizal Tahir, Ernie Zakri, Liza Hanim, Fauzi Marzuki dan Ayai Ilusi.

Ditanya tentang industri kreatif di Sarawak, penyanyi yang mesra disapa sebagai Gee ini berkata, terdapat banyak bakat seni yang sangat berpotensi di Bumi Kenyalang malah sebelum ini ramai penyanyi terkenal tempatan juga berasal dari Sarawak.

“Oleh itu, seronok untuk terlibat dengan rancangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Gee berkata, dia juga mahu mengambil peluang untuk ‘melepas rindu’ terhadap beberapa makanan Sarawak apabila berada di Kuching kelak.

“Saya pasti akan mencari Laksa Sarawak, mi kolok, buah dabai dan nasi goreng Melanau yang dimakan bersama ikan masin,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.