KPDNHEP gagalkan cubaan seleweng diesel bernilai lebih RM210,000

Spread the love

MIRI, 4 Okt: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mematahkan cubaan penyelewengan diesel bersubsidi melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM210,639.95 di sini pada Isnin (3 Oktober).

Ketua Cawangan KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil berkata lima lelaki warga tempatan berusia 19 hingga 50 tahun turut ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan bersama Pasukan Batalion 12, Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri.

“Kelima-lima individu yang ditahan gagal mengemukakan permit khas daripada KPDNHEP untuk menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, empat kenderaan pacuan empat roda bernilai RM207,000 yang diubahsuai dengan tangki tambahan di ruang belakang kenderaan juga disita.

Barangan lain disita ialah tiga pam elektrik, empat tangki tambahan dan 1,693 liter diesel yang bernilai RM3,639.95.

Stesen minyak yang terbabit dengan kes ini pula digantung operasinya serta merta sehingga siasatan kes selesai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) AKta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel bersubsidi tanpa kebenaran pengawal dan dibaca bersama seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Siasatan ke atas stesen minyak itu dilakukan di bawah Peraturan 21 PPKB 1974 samada melanggar syarat khas lesen.

Di bawah Akta Bekalan 1961 (Akta 122), individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.