Lelaki bermotosikal lepaskan tembakan ke dalam pagar rumah

Spread the love

IPOH, 1 Okt : Dua individu bermotosikal melepaskan tembakan ke dalam pagar sebuah rumah teres di Setiawan sehingga menimbulkan ketakutan kepada penghuninya semalam.

Dalam kejadian itu, penunggang telah memberhentikan motosikal di hadapan sebuah rumah sebelum pemboncengnya meluru ke arah pagar dan melepaskan tembakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian itu disedari isteri pemilik rumah itu kira-kira pukul 12.45 tengah hari ketika keluar untuk mengambil barang.

“Sebelum itu wanita tersebut ada mendengar bunyi seperti letupan namun tidak mengendahkannya.

“Dia kemudiannya menyedari ada kerosakan pada cermin belakang kereta selain menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, polis yang melakukan siasatan lanjut mendapati kejadian itu membabitkan dua suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran.

“Pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek melepaskan satu das tembakan dan mengenai kereta mangsa.

“Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya.

Mohd. Yusri berkata, motif kejadian masih dalam siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Mohd. Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.