Saluran LPG meletup, tauke kafe di Miri cedera dihempap dinding dapur

Spread the love

MIRI, 30 Sept : Seorang lelaki cedera selepas dipercayai dihempap dinding yang runtuh akibat daripada kesan letupan saluran gas petroleum cecair (LPG) di bahagian dapur sebuah kafe dalam kejadian di Jalan Kwang Tung di sini petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Chow Sui Kiong , 41, yang merupakan pemilik kafe berkenaan, cedera di bahagian kepala dan patah kaki kanan impak letupan itu.

Pemangku Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Nizam Sapaiee berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.23 petang.

“Sepasukan 10 anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati bahagian dapur kafe tersebut telah runtuh dan keadaan dapur berselerak akibat impak letupan yang kuat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Berdasarkan laporan , ketika kejadian,  mangsa sedang membuat pemeriksaan sendiri selepas terhidu  bau gas di bahagian dapur sebelum letupan meletus.

“Mangsa dihantar ke Hospital Miri oleh rakan sekerja untuk menerima rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” ujar kenyataan itu lagi.

Premis tersebut ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan mengesan punca sebenar kebocoran gas. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.