PM Ismail Sabri arah siasatan lanjut ke atas Tommy Thomas

Spread the love

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tan Sri Tommy Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku dihasilkan bekas Peguam Negara itu.

Perdana Menteri berkata siasatan akan dilakukan antaranya di bawah Seksyen 124(I) Kanun Keseksaan – penyebaran laporan palsu; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” telah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, dan telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

“Laporan itu telah disediakan oleh pasukan ini dalam tempoh sembilan bulan, bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022, dengan memperincikan setiap dakwaan-dakwaan yang disebut oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata berdasarkan siasatan, pasukan itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.