76 individu gersang jadi mangsa pemerasan panggilan video bogel

Spread the love

GEORGE TOWN, 30 Sept : Seramai 76 individu termasuk empat wanita di beberapa negeri dilaporkan menjadi mangsa pemerasan panggilan video tahun ini membabitkan kerugian lebih RM306,000 dalam tempoh lapan bulan setakat Ogos lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan mengajak individu yang dikenali menerusi laman sosial untuk membuat panggilan video lucah.

Katanya, mangsa yang terdiri daripada 72 lelaki dan empat wanita itu merupakan individu yang menggunakan aplikasi seperti Wechat, Facebook, Whatsapp, Michat dan Line.

“Sindiket ini memperdaya mangsa dengan mengajak mereka mempamerkan aksi lucah selain menyuruh mangsa melakukan adegan sama yang dirakam tanpa disedari.

“Sindiket kemudiannya membuat ugutan penyebaran video bogel mangsa melalui media sosial dengan 76 kes itu membabitkan kerugian berjumlah RM306,101.80,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini semalam.

Katanya, bertindak atas laporan, polis berjaya menahan 14 individu warga tempatan berusia 23 hingga 60 tahun melalui satu operasi pada 16 September lalu.

“Siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan di Pulau Pinang, Johor, Perak, dan Kuala Lumpur merupakan pemilik akaun yang digunakan sindiket.

“Dengan penahanan ini, polis percaya berjaya menyelesaikan 12 kes di Pulau Pinang dan 27 kes di negeri lain seperti Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pahang,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384, Seksyen 385 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.