PERKTHIS rancang tubuh Pusat Kebudayaan Cina-Muslim di Kuching

Spread the love
KUCHING, 29 Sept: Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) bakal menubuhkan Pusat Kebudayaan Cina-Muslim bagi mempamerkan keunikan budaya masyarakat itu di negeri ini.
 
Presiden Tuan Haji Mortadha Lau Abdullah berkata, pusat berkenaan akan ditempatkan di Jalan Diplomatik, Petrajaya, Kuching berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru.
 
“Setinggi terima kasih diucapkan kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di atas kesudian beliau untuk meluluskan projek kami di bawah kerajaan negeri dan sebanyak 1.5 ekar telah diperuntukkan untuk tujuan pembinaan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya di sini, hari ini.
 
Ditanya mengenai tarikh permulaan pembinaan, beliau berkata projek tersebut masih dalam proses perancangan.
 
“Kami tidak pasti bila pembinaan akan bermula namun pihak kami telah menghantar pelan permohonan susun atur, seni bina dan pelan kejuruteraan kepada pihak terlibat.
 
“Selepas kesemua pelan permohonan diluluskan, barulah proses pembinaan pusat berkenaan boleh bermula,” katanya lagi.
 
Jelasnya lagi, pusat kebudayaan itu akan mempamerkan barang-barang artifak warisan seni budaya dan sebagainya untuk tatapan khalayak umum.
 
“Dalam hal ini, besarlah harapan saya semoga segala bentuk usaha dan langkah-langkah yang dilakukan khusus untuk membentuk masyarakat dengan semangat perpaduan sentiasa diberi nilai tambah agar fungsi silang budaya sentiasa mewarnai keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat.
 
“Hal ini penting agar sikap saling menghormati menebal dalam jiwa masyarakat sekali gus menjadi tunjang dan teras kepada pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia,” tambahnya

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.