Stor simpanan barang pembinaan musnah dalam kebakaran di Sibu

Spread the love
SIBU, 28 Sept: Sebuah stor tempat penyimpanan peralatan pembinaan di Lorong Satria Timur 9A dekat sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 1.00 pagi itu, kebakaran disedari oleh seorang pekerja tapak pembinaan yang kemudiannya bergegas memaklumkan hal tersebut kepada penyelia tapak pembinaan.
 
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Om’ berkata, dia hanya menyedari kebakaran itu selepas ternampak kepulan asap dari tempat tinggalnya yang terletak berhampiran tempat kejadian.
 
“Ketika itu saya berada di luar rumah kongsi dan ternampak asap keluar dari bumbung stor barangan pembinaan kira-kira 50 meter dari rumah kongsi kami.
 
“Saya terus pergi mendekati stor dan lihat api semakin marak dan segera memaklumkan kepada mandur kami yang bertindak menghubungi bomba melalui talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
 
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah,  Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Faizal Bujang berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.15 pagi.
 
“Seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dan EMRS dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba mendapati kebakaran yang membabitkan sebuah stor penyimpanan barang pembinaan rumah perumahan dua tingkat struktur tidak kekal telah terbakar 90 peratus.
 
“Kerja memadamkan api segera dilakukan sebelum berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.45  pagi,” katanya.
 
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 2.09 pagi dan kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
 
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.