Sarawak terus jadi pilihan pelabur asing

Spread the love

KUCHING, 28 Sept: Sarawak diyakini terus menjadi destinasi pelaburan utama melalui pelbagai dasar pentadbiran yang bersifat inklusif, kedudukan strategik serta pertumbuhan ekonominya yang baik.

Menurut Naib Presiden Kanan Premier Incorporated, David Hargraves, pihaknya menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak kerana yakin negeri ini mampu menyediakan rantaian bekalan yang berterusan ke Amerika Syarikat.

“Selepas pandemik COVID-19, ia merupakan satu keperluan untuk mempunyai sebuah destinasi yang stabil termasuk kemampanan buruh.

“Selain itu, terdapat juga keperluan untuk mengembangkan rantaian bekalan yang memberi perkhidmatan kepada institusi kesihatan di Amerika Syarikat.

“Oleh itu, pihak saya percaya Sarawak boleh menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai dan dengan itu saya telah berjumpa dengan Premier Sarawak untuk membincangkan hal ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Baring Private Equity Asia, Gordon Shaw juga memaklumkan kesediaan pihaknya untuk berkerjasama dengan Sarawak khususnya dalam sektor sumber tenaga.

“Terdapat keperluan untuk bergerak ke arah persekitaran hijau dan juga bekalan tenaga yang boleh diperbaharui di Sarawak.

“Ini akan membantu jika kami boleh menempatkan beberapa syarikat kami yang mana kami percaya akan membantu ke arah mencapai neutraliti karbon, “ katanya.

Selain itu, dua syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Hong Kong itu juga menyifatkan dasar Kerajaan Sarawak dalam mempromosikan tenaga hijau turut menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan menarik.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.