Polis tumpaskan Geng Apik Setan, selesaikan 15 kes kecurian motosikal

Spread the love

KUCHING, 28 Sept: Polis Kuching berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal yang berlaku di sekitar bandar raya ini susulan penahanan empat suspek anggota sindiket Geng Apik Setan.

Ketua Polis Daerah Kuching, ASP Ashmon Bajah berkata, serbuan telah dilakukan di empat lokasi berbeza oleh pasukan khas Ops Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching diketuai Asisten Superintendan Ahmad Naim dan Inspektor Zulsafri.

“Dalam serbuan ini kita telah berjaya menahan empat suspek warga tempatan yang berumur 21 hinga 40 tahun.

“Kita juga membuat rampasan tiga motosikal dan sebuah van jenis Toyota Hiace berserta satu set kunci kenderaan” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media susulan kejayaan pasukan khas Ops Lejang IPD Kuching menumpaskan geng Apik Setan yang bergiat aktif di bandar raya Kuching.

Menurut Ashmon, modus operandi sindiket itu adalah menyasarkan motosikal jenama Honda dan Yamaha yang mempunyai permintaan tinggi di negara jiran dan kawasan ladang.

Beliau berkata, anggota sindiket itu menggunakan alat pemutar skru yang telah diubah suai selain menggunakan van untuk memuatkan motosikal yang dicuri.

“Anggota sindiket akan merosakkan tempat kunci motosikal tesebut terlebih dahulu dan selepas itu mereka memuatkan motosikal tersebut ke dalam van lalu di bawa ke kawasan sempadan untuk dijual atau dileraikan bahagian-bahagian tertentu motosikal tersebut untuk dijadikan sebagai alat ganti,” katanya.

Jumlah kerugian akibat perbuatan jenayah sindiket tersebut dianggarkan berjumlah RM60,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.