Bot tunda, tongkang disita, tujuh ditahan

Spread the love
BINTULU, 28 Sept:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda yang sedang menunda sebuah tongkang pada jarak lebih kurang 4.6 batu nautika dari Sungai Kemena dekat sini, sekitar jam 1.00 tengah hari, semalam.
 
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, sebaik ditahan, anak kapal bot tunda dan tongkang tersebut gagal mempamerkan sebarang dokumen berkaitan kebenaran membawa muatan daripada Jabatan Kastam.
 
“Seramai tujuh orang anak kapal lelaki termasuk jurugan bot telah ditahan kerana permit kerja mereka didaftarkan dengan kapal yang berlainan seperti yang disahkan di dalam pas atau permit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan adalah warganegara Indonesia, berumur antara 18 hingga 48 tahun.
 
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan, terdapat muatan disyaki kayu balak dijumpai di atas tongkang tersebut,” katanya.
 
Kesemua anak kapal beserta bot tunda dan tongkang kemudian ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
 
Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan kesalahan.
 
Anak kapal yang ditahan pula akan disiasat di bawah peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.00 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
 
Maritim Malaysia mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan berkaitan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian mers 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254),Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.