Kereta dipandu terjunam dari ketinggian 30 kaki, pemandu terselamat

Spread the love
KAPIT, 27 Sept: Seorang lelaki  terselamat meskipun kereta yang dipandunya terjatuh dari ketinggian kira-kira 30 kaki di Jambatan Amang, Jalan Melekun di sini pada malam Isnin.
 
Dalam kejadian sekitar jam 9.00 malam itu, kereta yang dipandu mangsa berusia 25 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan terjunam sebelum tersangkut di bahagian belakang sebuah rumah penduduk.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Timoty Barat berkata, pemandu lelaki terbabit bernasib baik terselamat walaupun kereta yang dipandunya jatuh pada ketinggian 30 kaki.
 
Pihaknya menerima panggilan pada jam 9.04 malam dan sejurus selepas itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dan kenderaan utiliti EMRS.
 
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati sebuah kereta jenis Perodua Viva telah terjatuh ke kaki bukit dari ketinggian kira-kira 30 kaki” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
 
Pemeriksaan lanjut mendapati kereta tersebut telah tersangkut antara kaki bukit dan dinding konkrit sebuah rumah penduduk.
 
“Penghuni rumah berkenaan memaklumkan  bahawa mereka terdengar bunyi dentuman yang agak kuat dan terkejut apabila melihat sebuah kereta tersangkut di bahagian dinding belakang rumah kemudian bertindak membantu mengeluarkan pemandu terbabit” jelasnya.
 
Pemandu lelaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan pasukan penyelamat bertolak balik ke balai pada jam 9.39 malam selepas memastikan keadaan sekeliling selamat. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.