Di sebalik kisah anak Ulu Entabai yang menjadi juara tanpa kasut

Spread the love
https://www.youtube.com/watch?v=fWhhRCj_MvM

JULAU, 27 Sept : Kemunculan murid dari Sekolah Kebangsaan Ulu Entabai di sini, yang menjuarai Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia di Sekolah Sukan Negeri SMK Bukit Nenas, Terengganu, pada Ogos lalu telah membuka mata dan hati ramai pihak ekoran kejayaan yang dicapainya itu.

Dengan hanya berkaki ayam, murid asal pedalaman Sarawak ini telah membuktikan kemampuannya untuk menempatkan dirinya di tempat nombor satu pada peringkat kebangsaan.

Namun, tahukah anda apakah yang mendorong kejayaan atlet cilik ini?

Penulis bersama jurukamera, Faitullah Morni, telah menempuh perjalanan hampir tujuh jam dari bandar raya Kuching yang mencabar untuk mendapatkan kisah murid luar biasa yang memberi inspirasi dari Ulu Entabai ini baru-baru ini.

Ia ternyata tidak mudah bagi pengunjung yang pertama kali memasuki tempat yang jauh dan terpencil seperti Ulu Entabai.

Laluan jalan tanah merah yang berbukit-bukau menyukarkan pergerakan krew TVS kerana dikhuatiri boleh mengundang perkara yang tidak diingini.

Selain sering sesat kerana destinasi sukar dijejaki sepenuhnya menggunakan peta pada ‘Google Maps’ disebabkan ketiadaan jaringan internet, krew TVS juga terpaksa meredah air sungai setinggi paras pinggang manusia normal dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Laluan alternatif utama untuk pergi ke kawasan Ulu Entabai. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Jika arus terlalu deras, mungkin lain pula ceritanya.

Tapi sedarkah kita di dalam perkampungan itu ada permata yang telah mengharumkan nama Sarawak?

Berusia 12 tahun, adik Shakira Onie merupakan seorang murid yang bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Anak ketiga daripada lima adik beradik ini dibesarkan dalam suasana mencabar kerana dijaga sepenuhnya oleh nenek mereka yang uzur, sementara bapa mereka bekerja di luar kawasan atas tuntutan mencari nafkah.

Onie (tengah) menggayakan pakaian tradisonal Iban ketika menyambut kedatangan krew TVS di rumah panjang Jimmy Ak Jarop.

Beriltizam untuk bangkit daripada kesusahan, Onie menaruh harapan tinggi untuk keluar daripada kemelut lampau dan muncul dengan sinar harapan baharu.

Tidak lupa dengan keperluan akademik, Onie tetap mementingkan dan mengutamakan pembelajaran dan pendidikan.

Menurut Onie, pernah satu ketika neneknya mengalami sakit kaki kerana bekerja di ladang lada, namun tetap cekal menjaga Onie dan adik-beradiknya.

Jelasnya lagi, meskipun pendapatan neneknya tidak seberapa, namun kasih sayang seorang nenek tetap juga mampu memastikan cucunya mendapat keperluan terbaik, lebih-lebih lagi dari sudut pembelajaran dan latihan sukan.

Kecekalan neneknya juga menjadi faktor utama bagi keinginannya untuk membalas balik jasa bakti neneknya yang telah menantang mereka bagai minyak yang penuh.

“Saya sedih kerana nenek sering sakit kaki, tetapi dia tetap kuat untuk menjaga kami.

“Sebab itulah, kalau saya pergi sekolah, saya akan mencium nenek sepenuhnya supaya saya sentiasa mengingatinya,” kata Onie dengan sebak.

Onie juga menyimpan hasrat untuk membalas jasa bakti neneknya jika dia sudah berjaya pada masa depan.

Onie menyimpan hasrat untuk mengubah nasib keluarganya. Foto: Faitullah Morni (TVS)

“Kalau saya sudah mendapat kejayaan dan sudah menjadi atlet terbaik, saya ingin membawa bapa dan nenek saya pergi melancong,” kata Onie.

Menjalani kehidupan jauh dari pinggir bandar tidak menjadi halangan buat atlet bertubuh kecil ini untuk menempa nama dalam bidang sukan pada masa akan datang.

Ini, selepas Onie, berjaya melakar kejayaan bermakna, sekaligus mengharumkan nama Sarawak di kala usianya yang masih muda.

Dia menjelaskan, selain mengenang kasih sayang neneknya, kejayaan yang dikecapinya di Terengganu itu juga didorong oleh semangat yang jitu.

Menurut Onie, meskipun pada awalnya sukar buat dirinya untuk menempuh kejohanan kebangsaan sulungnya itu, namun dia tetap bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik. seterusnya menjulang martabat bangsanya.

Juara tanpa kasut itu berkata ia tidak mudah baginya untuk mempersiapkan diri kerana dia berdepan pelbagai rintangan sepanjang menjalani latihan.

“Saya pernah pengsan ketika berlatih, terlanggar anjing, terjatuh tetapi saya tetap bersemangat untuk tidak menangis dan saya teruskan larian saya bagi mencapai kejayaan,” tambah Onie.

Mengenai hakikat bahawa sang juara ini tidak berkasut ketika berlumba di kejohanan berkenaan, Onie memaklumkan bahawa dia ada kasut, tetapi selepas dia melihat kesesuaian ‘track’ atau laluan merentas desa. Onie memilih untuk membuka kasutnya.

Ini kerana permukaan tanah yang agak licin dikhuatiri boleh menjejaskan lariannya.

“Saya yakin pada ketika itu bahawa saya boleh menggunakan kaki ayam, walaupun laluan di sana sangat mencabar kerana saya terpijak duri sawit,” ujarnya lagi.

Wartawan Luqman Muhammad menyampaikan sumbangan cenderahati TVS kepada adik Onie sebagai tanda kenang-kenangan, disaksikan oleh Tuai Rumah Jimmy Jarop. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Turut bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh murid berbakat ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memaklumkan bahawa kementeriannya bersedia untuk membantu permata baharu ini dan mengetengahkannya pada peringkat yang lebih tinggi.

“Kta akan melihat bagaimana kita dapat membantu.

“Sekiranya Onie betul-betul berminat dalam bidang sukan, kita akan usahakan dan beri sokongan.

“Saya berharap dia boleh berhubung dengan diri saya atau setiausaha tetap kementerian, atau pihak Perbadanan Sukan Sarawak,” kata Abdul Karim.

Dalam pada itu, Abdul Karim juga ingin melihat lebih ramai lagi bakat baharu muncul di arena sukan yang lebih besar dalam usaha untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang berupaya melahirkan atlet-atlet berkualiti tinggi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.