Polis terima laporan cubaan culik budak sekolah di Perak

Spread the love
IPOH, 26 Sept : Polis menerima satu laporan berhubung dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak perempuan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, Taman Pinji Mewah, di sini Jumaat lalu.
 
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu kepada mangsa yang berusia sembilan tahun itu kira-kira pada jam 9.07 malam pada hari kejadian.
 
“Pihak polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini dari pelbagai sudut.
 
“Polis juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak sekolah dalam mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan jenayah dan keselamatan di sekolah,” beliau memaklumkan dalam satu kenyataan hari ini.
 
Menurut Mohd Yusri, pihaknya semalam turut mengesan satu hantaran yang tular di laman sosial Facebook berhubung dakwaan mengenai kejadian berkenaan.
 
Menerusi hantaran itu, seorang lelaki dipercayai bapa mangsa menceritakan mengenai kejadian yang menimpa anak sulungnya yang dipanggil kakak kira-kira pada jam 1.00 petang.
 
“Kejadian berlaku di hadapan SK Pengkalan apabila kakak didatangi seorang lelaki yang mempelawanya untuk pergi jalan-jalan dan akan diberikan gula-gula.
 
“Tapi kakak menolak dengan alasan dia nak masuk sekolah, (manakala) siku dan lengan kakak dicengkam tetapi kakak menjerit dan menggigit penjahat itu, yang membuatkan penjenayah sempat lari menaiki van putih yang terletak (kira-kira) 20 meter,” katanya menerusi hantaran itu.
 
Sementara itu, Mohd Yusri turut meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu agar tidak menjejaskan siasatan polis. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.