SUKMA : Azizulhasni, Nicol David dan Chong Wei gamatkan suasana penutup

Spread the love

BANGI, 25 Sept : Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 melabuhkan tirainya secara rasmi pada satu majlis cukup meriah menandakan tamatnya temasya sukan dwitahunan itu dengan kontinjen Johor dinobatkan selaku juara keseluruhan.

Johor mencipta sensasi apabila meraih gelaran juara sulung dengan membawa pulang 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, sekali gus mengatasi 14 kontinjen lain termasuk juara bertahan, Terengganu (64 emas, 49 perak dan 56 gangsa) di tempat kedua serta Wilayah Persekutuan (55 emas, 68 perak dan 64 gangsa) di tempat ketiga.

Pada majlis berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi, majlis dimulakan dengan ketibaan maskot Sukma, Oyen diikuti perarakan masuk 15 kontinjen negeri bertanding termasuk Brunei selalu kontinjen jemputan.

Lebih 2,000 atlet dan pegawai hadir bagi memeriahkan majlis penutupan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu.

Sukma ke-20 yang bermula secara rasmi pada 16 Sept lepas mempertandingkan sebanyak 426 acara iaitu 223 acara lelaki, 184 wanita dan 19 campuran yakni jumlah acara terbanyak dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu setakat ini.

Semasa berucap pada majlis penutup itu,  Ahmad Faizal berharap supaya penganjuran Sukma akan datang bakal melibatkan lebih banyak acara yang tidak dipertandingkan pada temasya edisi kali ini.

“Ini penting bukan sahaja untuk menaikkan semangat para atlet tetapi juga dapat memartabatkan lagi acara-acara sukan yang terlibat. Jadi mari kita sama-sama doakan lebih banyak acara dapat dipertandingkan pada Sukma akan datang,” katanya.

Majlis itu kemudian digamatkan lagi dengan penampilan tiga legenda sukan negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David yang menyampaikan trofi kepada atlet lelaki dan wanita terbaik serta juara keseluruhan Sukma.

Pada majlis itu, atlet lelaki dan wanita terbaik Sukma masing-masing dibolot atlet Johor menerusi Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize bagi sukan kanu dan atlet renang Tan Rouxin.

Muhammad Fakhrullah meraih gelaran itu selepas merangkul sebanyak sembilan pingat emas antaranya menerusi acara K2 200meter (m), 500m dan 1000m sementara Rouxin meraih enam emas antaranya dalam saingan 50m, 100m dan 200m kuak dada.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menurunkan bendera temasya sebelum penonton dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis antaranya Faizal Tahir. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.