Senat Swinburne University setuju cadangan Sarawak tubuh fakulti undang-undang

Spread the love

KUCHING, 25 Sept : Senat Akademik Swinburne University di Australia bersetuju dengan cadangan Kerajaan Sarawak supaya fakulti undang-undang ditubuhkan di kampus universiti berkenaan di sini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, pengajian jurusan berkenaan adalah mustahak terutamanya yang membabitkan perlembagaan dan undang-undang yang ada di Sarawak.

“Saya difahamkan universiti di Semenanjung Malaysia tidak menawarkan subjek yang mengajar tentang undang-undang Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR Land).

“Oleh itu kita tidak tahu kewujudan undang-undang itu, jadi kita mahu pengajian akademik mengenai NCR Land dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kesyukuran SMK Agama Tun Ahmad Zaidi di sini malam tadi.

Susulun persetujuan berkenaan kata Abang Johari, subjek elektif yang akan ditawarkan oleh Swinburne University ialah melibatkan kajian dan pembelajaran tentang NCR Land dan MA63.

Tambah beliau, menjadi keperluan untuk memahami perlembagaan dan undang-undang di Sarawak bagi memastikan hak rakyat Sarawak terjaga.

Jelas beliau lagi, pelajar jurusan undang-undang kemudiannya akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian antarabangsa di Melbourne, Australia dan menjadi peguam di Malaysia.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.