Semua pihak perlu jayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat

Spread the love

LIMBANG, 25 Sept : Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan usaha untuk menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), iaitu agenda negara bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia, termasuk juga di Bahagian Limbang.

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah, mengajak masyarakat sekeliling untuk sentiasa peka kepada penjagaan kesihatan diri dan keluarga.

Dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Hasbi berkata ANMS dapat menyediakan persekitaran yang menyokong kesejahteraan, kesihatan dan pemerkasaan rakyat dalam kawalan kesihatan kendiri serta mengukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik.

Hasbi menambah, kerajaan menyokong penuh ANMS yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dan semua agensi kerajaan, sama ada persekutuan mahupun negeri, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh penduduk di Bahagian Limbang digesa untuk menyokong dan menjayakannya.

Ucapan Hasbi disampaikan pada Pelancaran Jelajah ANMS Peringkat Bahagian Limbang dan Pelancaran Mychampion 2022.

“Kita sedia maklum bahawa ANMS ini merupakan pakej kesejahteran kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan sebagai persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia di dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19.

“Dengan kata lain, matlamat atau objektif ANMS ini adalah untuk menjadikan Keluarga Malaysia sihat sejahtera dengan membudayakan cara hidup sihat, yang bukan sahaja sihat dari segi fizikal tetapi juga sihat dan sejahtera dari segi mental, serta hidup dalam persekitaran yang bersih,” katanya.

Penduduk yang sihat, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mempunyai kesejahteraan mental, diperlukan untuk membangunkan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan di Bahagian Limbang, khususnya dalam sektor ekonomi yang memerlukan tenaga kerja yang betul-betul sihat dari segi fizikal dan mental.

“Begitu juga matlamat kita untuk melahirkan penjawat awam di Bahagian Limbang yang berketerampilan, kreatif, inovatif, cekap dan proaktif, kita memerlukan anggota perkhidmatan awam yang sihat dan mempunyai kesihatan mental yang baik.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua anggota perkhidmatan awam dan masyarakat Limbang agar membudayakan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, mengamalkan pemakanan sihat, bijak menangani masalah minda, tidak merokok, dan menjaga kebersihan atau mewujudkan persekitaran yang sentiasa bersih, sihat dan hijau di Limbang,” katanya.

Selain ANMS, pelancaran rasmi ejen-ejen kesihatan dalam komuniti yang dikenali sebagai ‘Mychampion’ dijangka dapat membantu kerajaan untuk mencapai hasrat dan membina masyarakat yang sihat sejahtera.

‘Mychampion’ merupakan singkatan bagi ‘Malaysia Health Community Agent’ atau Ejen Komuniti Sihat Malaysia, yang merupakan sukarelawan terlatih dan diperkasa dalam aspek kesihatan merangkumi budaya gaya hidup sihat, kawalan kesihatan kendiri dan persekitaran yang sihat dan bersih.

Melalui strategi ini, Sarawak khasnya dapat melahirkan masyarakat yang sihat sejahtera dan berupaya menghadapi cabaran kesihatan pada masa akan datang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.