Abang Johari umum peruntukan RM28 juta untuk pembangunan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi

Spread the love

KUCHING, 25 Sept : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan sebanyak RM28 juta untuk menaik taraf kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Ahmad Zaidi.

Abang Johari berkata, jumlah yang diluluskan itu akan digunakan untuk pembinaan bangunan baharu, asrama dan kuarters guru.

Selain itu katanya turut akan dibina ialah pusat sumber berkonsepkan smart building, penyediaan bas sekolah serta dana untuk pembangunan modal insan yang berteraskan akademik, sahsiah dan kokurikulum.

“Prasarana lengkap untuk pembelajaran diperlukan bagi memastikan prosesnya berjalan dengan lancar.

“Walaupun sekolah ini terletak di kawasan bandar, saya tidak tahu keadaan kuarters guru yang disediakan, jadi kita akan bangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kesyukuran SMKA Tun Ahmad Zaidi di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr. Annuar Rapaee dan Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.

Majlis itu diadakan bagi menyambut ulang tahun penubuhan ke-30 sekolah berkenaan.

Sementara itu, Abang Johari turut menekankan kepentingan mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris.

Jelas beliau, kemahiran berbahasa Inggeris sangat bermanfaat kerana dapat membantu anak-anak terutamanya pada era digital.

“Sekiranya pelajar kita mampu bercakap dalam pelbagai bahasa, mereka boleh melanjutkan pengajaran ke mana sahaja.

“Bukan itu sahaja, teknologi terkini juga bergantung kepada kefahaman terhadap bahasa Inggeris,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.