SUKMA : Pasukan boling Sarawak pertahankan gelaran juara keseluruhan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 23 Sept : Pasukan boling Sarawak berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan acara itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20.

Di sebalik cabaran hebat diberikan beberapa pasukan terutamanya Wilayah Persekutuan, 10 pemain boling yang dibariskan berjaya membawa pulang empat pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Kejayaan Sarawak menguasai gelanggang Pusat Boling Megalanes, di Bandar Sunway dibantu kemunculan permata boling baharu, Lavinia Kho Jia Jie yang meraih tiga pingat emas pada penampilan pertamanya di pentas SUKMA.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road itu menang emas acara perseorangan wanita, diikuti beregu wanita dan berpasukan wanita.

Satu lagi pingat emas Sarawak disumbangkan oleh Nur Aina Kamalia Abdul Ayub dan Musayyar Khalid menerusi acara beregu campuran.

Pada SUKMA 2018 di Perak, Sarawak muncul juara dengan tujuh emas, dua perak dan dua gangsa.

Dua tahun sebelum itu, ketika menjadi tuan rumah, pasukan boling Sarawak mencipta sejarah apabila memenangi 12 pingat emas yang dipertandingkan.

Sementara itu, hasrat untuk menyaksikan Sarawak menambah emas menerusi acara terakhir, master yang berlangsung semalam tidak kesampaian.

Dua atlet Sarawak, Abang Afiq Yazid Abang Azman dan Nur Hazirah Ramli bagaimanapun berjaya membawa pulang gangsa acara itu. – TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.