Pengukuran tanah NCR inisiatif berterusan – Awang Tengah

Spread the love

BAU, 23 Sept : Inisiatif pengukuran tanah Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dilakukan secara berterusan bagi mengiktiraf hak rakyat, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, penyerahan surat hak milik NCR bukanlah petunjuk bahawa negara atau negeri ini sedang menuju ke arah Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kita (kerajaan negeri) buat setiap masa bukan disebabkan oleh pilihan raya.

“Percayalah, kerajaan akan sentiasa iktiraf tanah adat Bumiputera, asalkan terdapat bukti mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Tasik Biru 2022 dan Majlis Penyerahan Surat NCR bagi Kampung Senibong dan Barieng dan Kampung Tradisional yang melibatkan Kampung Skibang, di sini hari ini.

Penyerahan itu membabitkan seramai 272 orang penerima.

Sementara itu, Awang Tengah menambah, proses berkenaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang – undang sedia ada.

“Kita tidak akan pernah menafikan hak mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Pengangkutan negeri, Dato Henry Harry Jinep memaklumkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru sudah mengadakan tujuh sesi penyerahan surat NCR sejak 2018.

Sepanjang tempeh itu ujar beliau, sejumlah 2,771 geran tanah sudah dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak melalui agensinya iaitu Jabatan Tanah dan Survei Sarawak yang komited melaksanakan Pengukuran Kampung Tradisional sejak dimulakan pada 2000.

“Sehingga ini sebanyak 23 buah kampung di Tasik Biru yang telah disukat dan 5,733 lot sudah diberikan geran tanah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru turut menyeru masyarakat di Bau untuk memanfaatkan sebaiknya tanah yang sudah diiktiraf termasuk mengusahakannya bagi kegiatan pertanian. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.