Lelaki maut motosikal dirempuh lori di Jalan Ding Lik Kong

Spread the love

SIBU, 23 Sept : Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ding Lik Kong, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, penunggang berusia 58 tahun itu disahkan meninggal dunia dua jam selepas kemalangan ketika dirawat di Hospital Sibu.

Katanya, pembonceng yang merupakan remaja berusia 16 tahun pula patah kaki kanan masih menerima rawatan di hospital sama.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori itu yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun telah berlanggar dengan motosikal dinaiki mangsa yang tiba-tiba keluar dari simpang kiri untuk ke jalan utama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.