Kerajaan Sarawak mula fokus ekonomi digital sejak 2017 – Len Talif

Spread the love

SARIKEI, 23 Sept : Kerajaan Sarawak memberi penekanan terhadap ekonomi digital sejak 2017 di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menjadi Ketua Menteri ketika itu.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri, Datu Len Talif Salleh berkata, usaha berkenaan dimulakan dengan penganjuran Persidangan Antarabangsa ICT, Infrastruktur dan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2017.

Kata beliau, penganjuran IDECS itu merupakan langkah pertama Sarawak untuk memacu pertumbuhan ekonomi digitalnya yang manfaatnya mula dilihat pada hari ini lebih – lebih lagi ketika dunia diuji dengan pandemik COVID-19.

“Banyak program yang telah dianjurkan namun pada 2020, wabak berkenaan memaksa kita menjalankan aktiviti secara dalam talian.

“Walaupun banyak yang kita tahu, namun sebenarnya masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jerayawara Pro-Dr di Dewan Kampung Seberang Sarikei, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Len Taliff yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata, penekanan terhadap bidang digital dan teknikal oleh kerajaan negeri adalah kerana tidak mahu anak Sarawak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi maklumat.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan tidak boleh bersikap tunggu dan lihat,” katanya.

Pada masa sama beliau memberitahu, pelbagai usaha lain turut dilaksanakan termasuk komitmen kerajaan negeri terhadap transformasi pendidikan Sarawak bagi tempoh jangka panjang.

“Kesemua ini bertujuan untuk memastikan agenda pembaharuan itu dapat dilaksanakan secara lebih saksama, inklusif, relevan dan berdaya tahan,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.