Sarawak lokasi pertama penganjuran konvensyen ejen pelancongan India

Spread the love

KUCHING, 22 Sept : Sarawak dipilih sebagai destinasi pertama penganjuran Konvensyen Persekutuan Ejen Pelancongan India (TAFI) 2022.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Dato Sri Dr Anil Jeet Singh Sandhu berkata, Sarawak dipilih kerana ianya merupakan salah satu destinasi yang belum diterokai sepenuhnya oleh pelancong India.

Malah katanya, Sarawak merupakan destinasi yang tepat untuk penganjuran majlis perkahwinan, perjalanan keluarga dan majlis korporat.

“Selaras dengan tema Build Back Better untuk membina semula industri pelancongan dengan lebih bertanggungjawab dan mampan, Sarawak terkenal dengan kekayaan alam semula jadi dan budayanya.

“Konvensyen ini menyerlahkan kepelbagaian etnik Sarawak, tradisi unik, gaya hidup, muzik, makanan dan kraf,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Malaysia Travel Mart Konvensyen TAFI 2022 di sini hari ini.

Beliau turut memberi contoh tarikan yang terdapat di Kuching termasuk Borneo Cultures Museum yang merupakan muzium terbesar di Malaysia yang baharu dibuka pada tahun ini.

“Muzium itu menempatkan lebih 1,000 artifak yang mempamerkan budaya dan warisan penduduk Borneo dan Sarawak.

“Bukan itu sahaja, Sarawak juga kaya dengan alam semula jadi, menempatkan salah satunya ekosistem terkaya dan paling pelbagai di dunia, iaitu gua gergasi yang tersenarai sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu Taman Negara Gunung Mulu.

“Selain itu negeri ini juga mempunyai spesies bunga terbesar di dunia, iaitu Rafflesia, orang utan, monyet Proboscis, burung enggang dan banyak lagi,”katanya.

Usai majlis perasmian, Sesi Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) yang berlangsung menyaksikan 108 penjual dari seluruh Malaysia mengambil bahagian untuk menarik minat pelanggan baharu yang terdiri daripada 450 pembeli dari India yang mewakili lebih 240 syarikat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.