Masyarakat perlu diberi penjelasan terperinci mengenai polisi tanah di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 23 Sept : Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menyeru pihak berkaitan supaya menjelaskan polisi tanah di Sarawak kepada penduduk terutamanya golongan petani.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, perkara ini penting kerana masih berlaku kekeliruan mengenai jenis tanah di Sarawak yang boleh diusahakan untuk kegiatan pertanian.

“Kita (Sarawak) banyak tanah namun ada yang masih kurang jelas (kategori) tanah yang boleh diusahakan untuk sektor pertanian,”katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Premier Sarawak,Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru – baru ini yang mahukan rakyat memanfaatkan keluasan tanah dimiliki negeri ini untuk tujuan pertanian.

Willie berkata, perkara itu memerlukan kesinambungan di samping polisi jelas oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menggalakkan  penduduk Sarawak mengusahakan tanah mereka yang terbiar.

Sekiranya perkara ini berlarutan, Willie berkata, ianya boleh menjejaskan penglibatan masyarakat dalam sektor pertanian yang secara tidak langsung merugikan ekonomi Sarawak.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.