Mangsa bot karam yang terselamat pakai jaket keselamatan – APMM Sarawak

Spread the love

MUKAH, 22 Sept : Dua mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Mukah, ditemui hanyut pukul 3.30 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, kedua-duanya ditemui oleh kapal MT Capella.

Katanya, dua mangsa itu sempat memakai jaket keselamatan dan berpaut pada tong ikan.

“Kapal MT Capella kemudian membawa mereka ke Pelabuhan Senari Kuching,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd. Khairol Anuar, berdasarkan keterangan mangsa, mereka keluar dari jeti di Mukah pada 19 September untuk memancing di laut.

Kata beliau, ketika ini Maritime Rescue Sub Center (MRSC) di Kuching telah mengetuai operasi menyelamat bagi mencari sembilan mangsa yang hilang.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mukah bermula pukul 8 pagi tadi,”katanya.

Katanya, kejadian itu turut dimaklumkan kepada agensi sahabat serta memohon bantuan aset kepada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Perikalan Laut Sarawak (JPLS), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dan SARAWAK SHELL.

“Keluasan sektor pencarian pada hari pertama adalah 78.40 batu persegi.

“Cuaca di lokasi kejadian pada hari ini ialah ombak dianggarkan setinggi 1.5 meter manakala angin bertiup dari Tenggara berkelajuan 20 hingga 30 kmsj,”katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.