SUKMA : Boling berpasukan wanita Sarawak menang bergaya

Spread the love

PETALING JAYA, 21 Sept : Pasukan boling wanita Sarawak meraih pingat emas dengan penuh bergaya apabila jauh meninggalkan pencabar terdekat di Pusat Boling Megalanes, Bandar Sunway di sini hari ini.

Gandingan Gillian Lim, Asya Dania Azree, Lavinia Kho, Nur Hazirah Ramli dan Nur Aina Kamalia Abdul Ayob mengekalkan aksi kemas pada blok pertama pada tengah hari apabila menamatkan enam permainan lewat petang tadi dengan mengumpul 5,882 pin, mengatasi Perak di tempat kedua dengan kelebihan 322 jatuhan pin.

Selangor pula memintas Wilayah Persekutuan di frame terakhir untuk meraih pingat gangsa dengan jumlah keseluruhan 5,508 pin.

Gillian Lim yang juga pemain kebangsaan berkata, dia tidak tertekan beraksi dalam acara berpasukan hari ini meskipun gagal meraih sebarang pingat bagi acara perseorangan, beregu campuran dan trio.

“Malah saya gembira melihat aksi rakan sepasukan terutamanya Lavinia yang menunjukkan peningkatan ketara kali ini.

“Apabila beraksi dalam acara berpasukan hari ini, saya kekal fokus kerana percaya kepada empat rakan sepasukan yang lain yang telah berlatih bersungguh – sungguh untuk SUKMA kali ini,” katanya.

Layak ke acara master esok, Gillian berkata, dia akan mencuba aksi terbaiknya untuk menang pingat individu.

Pasukan boling Sarawak meraih emas dan perak acara berpasukan harin ini. Foto Firdaus Ismail (TVS).

Sementara itu, hasrat untuk melihat emas berganda acara berpasukan tidak kesampaian apabila pasukan lelaki Sarawak menamatkan saingan di tempat kedua sekaligus meraih pingat perak.

Kombinasi Abner Loo Chuk Lik, Tsen Fan Yew, Mohd Zuhayr Redza Noor Azrul, Musayyar Khalid dan Abang Afiq Yazid Abang Azman memberi tentangan terbaik kepada Wilayah Persekutuan apabila menjatuhkan 944 pin pada permainan terakhir.

Bagaimanapun jumlah keseluruhan 5,884 pin yang dicatatkan mereka gagal mengatasi 6,029 pin milik Wilayah Persekutuan yang menang pingat emas.

Terengganu pula meraih gangsa selepas mengumpul 5,842 pin.

Sarawak berpeluang menambah kutipan pingat menerusi acara master apabila kesemua lima pemain lelaki dan empat pemain wanita layak ke acara itu esok.

Setakat ini pasukan boling menyumbang empat emas, satu perak dan dua gangsa kepada kontinjen Bumi Kenyalang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.