Sarawak tuan rumah Sidang Kemuncak Inovasi Korporat 2022

Spread the love

KUCHING, 21 Sept : Sarawak bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Inovasi Korporat (BCIS) 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober ini bertempat di Tegas Digital Village.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, sidang kemuncak itu akan menampilkan beberapa panel berkelayakan dari dalam dan luar negara.

“BCIS ini nanti bakal menghimpunkan pemimpin berwawasan dan inovator daripada sektor awam dan swasta untuk berkongsi pandangan dan amalan terbaik bagi menangani cabaran mendesak dunia yang sentiasa berubah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, antara objektif penganjuran sidang berkenaan ialah bagi membantu perusahaan perniagaan untuk lebih berdaya saing dan pada masa sama memahami kepentingan inovasi sebagai pemacu utama dalam pembangunan ekonomi.

Ia juga akan memberi fokus kepada empat tunjang strategi, iaitu pelaksanaan inovasi korporat, teknologi, kemampanan dan masa depan kerja.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai sidang kemuncak tersebut di Tegas Digital Village, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa agensi korporat dan syarikat di bawah kerajaan negeri untuk turut mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu nanti.

“Saya akan menggesa setiap syarikat berkepentingan dan juga GLC negeri untuk mendaftar dalam sidang kemuncak yang diadakan untuk menggalakkan mereka belajar dan lebih memahami kepentingan inovasi sebagai pemacu utama dalam pembangunan ekonomi,” ujarnya.

Len Talif berkata ini merupakan julung kali penganjuran BCIS diadakan di Wilayah Borneo. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.