Sarawak berhasrat jadi pengeluar keju halal pertama di rantau Borneo

Spread the love

KUCHING, 21 Sept: Sarawak komited dalam usahanya menjadi pengeluar keju halal pertama di rantau Borneo menjelang tahun 2030.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi tujuan itu dengan pembinaan kilang pemprosesan keju kerbau yang akan dibangunkan di Lawas pada suku ketiga 2024.

Projek ini juga mampu mentransformasi dan meletakkan Sarawak sebagai salah satu hab makanan dan pemprosesan agro halal terkemuka di rantau ini, serta menjadi pusat jualan dan pemasaran Asean dan dunia.

“Kita berhasrat untuk menghasilkan penternakan kerbau yang mengeluarkan keju mozarella, dan ia akan dipasarkan melalui pelabur yang sudah dikenalpasti bersesuaian dengan aksesibiliti pasaran mereka “, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian diantara Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Dato Dr Abdul Rahman Ismail dan Green Valley Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Raja Imran Shah di sini, hari ini.

Menurut Stephen Rundi, tujuan utama kolaborasi itu untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat di luar bandar melalui aktiviti pertanian berteraskan strategi inovasi dan pengkomersialan.

“Bagi projek ini, ianya akan bermula dengan membangunkan Daerah Limbang dan Lawas yang menjadi daerah pertama bagi pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan”, ujar Stephen Rundi.

Dalam pada itu Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata kerajaan telah menswastakan tiga stesen ternakan ruminan di Sarawak bagi memberi fokus kepada usaha meningkatkan penglibatan sektor swasta.

Katanya tiga stesen berkenaan ialah Stesen Ternakan Temudok di Sri Aman untuk pengeluaran baka kambing, Stesen Ternakan Karabungan di Miri untuk pengeluaran baka lembu berkualiti, dan Stesen Ternakan Meragang di Lawas bagi pengeluaran kerbau berkualiti.- TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.