RM10.393 juta pampasan dibayar kepada 318 pemilik tanah di Sibu

Spread the love

SIBU, 21 Sept: Sebanyak RM10.393 juta pampasan telah dibayar kepada 318 orang pemilik tanah yang terjejas akibat pembinaan tiga projek Pembinaan Jalan Pasai-Siong, Projek Baleh-Mapai Hilir 500KV Overhead Transmission Line Sibu/Kapit, dan projek Penjara Baharu Sibu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pampasan tersebut membuktikan bahawa khabar angin bahawa kerajaan merampas tanah rakyat adalah tidak benar sekali.

Namun ujarnya bagi membangunkan infrastruktur, kerajaan memerlukan tanah dan semakin banyak projek yang dijalankan semakin banyak tapak yang diperlukan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tersebut.

“Kita memerlukannya untuk melaksanakan projek untuk kegunaan awam untuk kepentingan kita semua dan dengan adanya infrastruktur ini, kemudahan seperti ini ia dengan sendirinya meningkatkan nilai tanah kita itu.

“Kita boleh melaksanakan aktiviti ekonomi, pertanian komersial, membuat kilang untuk memproses makanan, meningkatkan kegiatan keusahawanan, perniagaan kita,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu menambah bahawa rakyat boleh menuntut pampasan daripada kerajaan negeri asalkan mempunyai bukti pemilikan tanah di kawasan yang digunakan kerajaan untuk tujuan pembangunan.

“Kalau kita ada bukti yang kukuh buktikan kita tidak akan mengetepikan.

“Kalau ia adalah hak kita maka ia hak kita dan kalau tanah itu perlu, untuk pembangunan pampasan akan diberi kepada kita,” katanya lagi.

Beliau berkata demikain ketika berucap di Majlis Penyerahan Cek Pampasan bagi ketiga-tiga projek tersebut di Kompleks Islam Sibu pada Selasa.

Sebagai rekod pengambilan tanah bagi projek Jalan Pasai-Siong Hilir, Sibu sepanjang 17.8KM itu melibatkan kawasan seluas 47.42 hektar.

Manakala, Projek Baleh-Mapai 500KV Overhead Transmission Line (Realignment) adalah kesinambungan daripada projek Transmission Line Baleh-Mapai yang melibatkan 51 lot dengan keluasan 24.5 hektar.

Bagi pembinaan Penjara Baharu di Sibu pula ia melibatkan 18 lot tanah seluas 24.52 hektar dan tujuan penjara baharu ini adalah untuk memindahkan Penjara Sibu sedia ada ke lokasi yang lebih luas dan sesuai untuk menampung keperluan semasa. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.