Miri tuan rumah Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2022

Spread the love

KUCHING, 21 Sept: Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha mengumumkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2022 akan dianjurkan di Miri pada 9 dan 10 Oktober ini.

Sambutan yang berlangsung selama dua hari itu dijangka bakal menarik lebih 5,000 pengunjung.

“Pada 9 Oktober kita adakan majlis kesyukuran dan 10 haribulan pula perhimpunan perarakan Maulidur Rasul.

“Kami menganggarkan sekitar 5,000 hingga 10,000 pengunjung yang akan hadir pada sambutan tersebut”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai rombongan Majlis Islam Sarawak yang telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediamannya di Demak Jaya di sini hari ini.

Kata beliau tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk menyampaikan undangan kepada Tun Taib dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib ke Sambutan Maulidur Rasul itu nanti.

Rombongan tersebut turut disertai Pengarah Jabatan Islam Sarawak (JAIS), Khalidi Ibrahim dan Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Pejabat Residen Bahagian Miri dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS)  merupakan dua agensi yang telah dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan perayaan sambutan tersebut.

“Kami juga telah mengundang pelbagai agensi berkaitan yang akan dibahagikan kepada lapan bahagian bagi memeriahkan sambutan dan perarakan Maulidur Rasul tahun ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Tun Taib juga telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa ‘Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2022’ anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk memaklumkan kepada Tun Taib keputusan pertandingan dan untuk upacara penyampaian hadiah kepada pemenang.

Johan Pertandingan Forum Remaja tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi.

Tun Taib kemudiannya telah menyerahkan trofi pertandingan kepada kumpulan pemenang yang terdiri daripada lima pelajar dan dua guru pembimbing.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.