GPS akan pertahankan Lawas, sedia berdepan Baru Bian – Awang Tengah

Spread the love

SIBU, 21 Sept : Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia berdepan penyandang kerusi Parlimen Selangau, Baru Bian jika bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ‘berpindah’ dan menjadi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Parlimen Lawas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, gabungan parti -parti tempatan di bawah GPS sudah lama bersedia menghadapi PRU15.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, GPS mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bertanding di situ.

“Ini negara demokrasi, sesiapa pun boleh bertanding namun kita (GPS) sudah mengatur persiapan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis penyerahan cek pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat dalam Projek Pembinaan Jalan Pasai – Siong Hilir, Projek Talian Transmisi Atas Baleh – Mapai dan Tapak Penjara Baru Sibu di Kompleks Islam Sibu, semalam.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan  akan meletakkan Ahli Parlimen Selangau itu yang juga Setiausaha Agung PSB untuk bertanding di Lawas.

Kerusi Parlimen Lawas disandang oleh Dato Henry Sum Agong yang merupakan Timbalan Menteri Pengangkutan.

Pada PRU14, beliau menang kerusi itu dengan majoriti 6,000 undi selepas menewaskan calon PKR dan calon bebas.

Sebelum ini, Awang Tengah memberi bayangan bahawa Henry Sum berkemungkinan akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusinya pada PRU15. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.