China berminat teroka kerjasama pelbagai sektor dengan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 21 Sept: China berminat untuk meneroka kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama Sarawak dalam pembangunan infrastruktur dan digitalisasi.

Perkara tersebut merupakan antara yang dibincangkan oleh Konsul General China, Xing Weiping ketika kunjungan hormatnya ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini pada Rabu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, antara sektor lain yang turut dalam perbincangan ialah minyak dan gas, petrokimia, agrikultur komersial dan teknologi tinggi selain bertukar pandangan mengenai perdagangan dan pelaburan.

Menurut Awang Tengah, Sarawak telah menjalinkan kerjasama yang baik bersama China selama ini dalam pelbagai sektor termasuk politik dan perniagaan.

“Sarawak telah menjalinkan kerjasama yang baik bersama China selama ini selepas menjalinkan hubungan diplomatik pada tahun 1974, dalam politik, sektor perniagaan juga pertukaran sosial,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi beliau mengalu-alukan syarikat-syarikat lain dari China untuk meneroka potensi pelaburan dan perdagangan di Sarawak.

Pada 2021, jumlah perdagangan antara Sarawak dan China bernilai RM27.045 bilion dan nilai eksport sebanyak RM18.6 bilion dengan gas asli cecair sebagai penyumbang utama..

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat SME MINTRED, Datuk Mohd Noraden Majais dan Timbalan Konsul Jeneral China di Kuching, Song Changhong. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.