Teater bangsawan Sarawak perlukan lebih sokongan dan pengiktirafan untuk kekal relevan

Spread the love

KUCHING, 20 Sept: Seperti di Sepanyol dan United Kingdom, teater bangsawan dilihat berperanan sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan kepada negara.

Namun begitu di Sarawak khususnya, Pengarah Bangsawan, Taksu Zacharia berkata masih banyak yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan pemain sektor berkenaan bagi menjadikan seni persembahan tersebut setaraf pementasan luar negara.

Ini kerana usaha bagi memperkasa teater bangsawan di Sarawak masih lemah dan bersifat ad hoc.

Bangsawan Bujang Jaoh Putera Kejora dijadual berlangsung pada 23 dan 24 September ini di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institusi Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang secara percuma. Foto: Studio Labu Sakti
Bangsawan Bujang Jaoh Putera Kejora dijadual berlangsung pada 23 dan 24 September ini di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institusi Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang secara percuma. Foto: Studio Labu Sakti

Menurutnya, teater bangsawan luar negara meletakkan sektor pelancongan sebagai teras kepada pemantapan industri teater mereka.

“Kekuatan yang ada pada teater Broadway contohnya melihat kepada sumber yang benar-benar dapat menghidupkan teater itu sendiri iaitu pelancongan.

“Maka itulah titik permulaan dalam menjadikan teater, bangsawan dan seni persembahan berbentuk lakonan di Sarawak untuk dijadikan sebagai produk pelancongan”, katanya.

Tambahnya, teater bangsawan merupakan salah satu kaedah yang baik dalam mempromosikan budaya masyarakat tempatan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Ini kerana Sarawak memiliki banyak cerita rakyat yang dapat dijadikan sebagai produk pelancongan teater seperti Melati Sarawak dan Tradisi Bercerita Renong.

“Pelancong yang datang ingin mengetahui apa yang menarik di sini selain tarian tradisionalnya, pementasan teater yang mengisahkan cerita rakyat juga menjadi satu tarikan,” katanya.

Taksu berkata demikian pada sidang media Bangsawan Bujang Jaoh Putera Kejora di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institusi Pendidikan Guru Batu Lintang pada Selasa.

Bangsawan Bujang Jaoh Putera Kejora mengisahkan kesulitan yang dialami Raja Panji Reso yang menyambut kelahiran anak sulungnya yang cacat akibat disumpah sang nenek kebayan.

Bangsawan tersebut merupakan salah satu inisiatif dalam memperkasa bangsawan Sarawak selain sebagai platform pendedahan keaslian teater bangsawan dalam kalangan generasi muda.

Pementasan yang melibatkan 60 ahli produksi itu dijadual berlangsung pada 23 dan 24 September ini di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institusi Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang dan kemasukan adalah percuma. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.