Penggunaan teknologi tingkatkan pengeluaran kelapa sawit

Spread the love

MIRI, 20 Sept: Pencapaian dalam bidang penyelidikan yang dilaksanakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menghasilkan pelbagai teknologi yang boleh diguna pakai oleh pemain industri sawit dan pekebun kecil.

Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) yakin penggunaan teknologi secara menyeluruh dalam aktiviti perladangan sawit dan pematuhan amalan agronomi penanaman sawit oleh pekebun kecil dapat meningkatkan pengeluaran hasil sawit setanding dengan pendapatan dalam sektor perladangan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin, menekankan kepentingan teknologi dan teknik baharu dalam penanaman sawit yang telah membuktikan keberkesanannya, seperti penggunaan benih dari baka klon sawit.

“Penggunaan teknologi dalam sektor perladangan sawit, amalan pertanian baik dan pengeluaran sawit secara mampan dapat meningkatkan pengeluaran hasil sawit dan memperkukuhkan daya saing industri sawit negara.

“Amalan teknologi dan teknik baharu meliputi penanaman sawit yang menggunakan benih yang berkualiti daripada baka klon sawit yang dihasilkan melalui proses kultur tisu dan berupaya meningkatkan pengeluaran hasil sawit,” katanya.

Mongin berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2022 yang dianjurkan oleh MPOB di sini, hari ini.

Beliau menambah, penggunaan mekanisasi dalam operasi ladang sawit, seperti jentera, juga mampu meningkatkan produktiviti lebih tinggi berbanding kaedah manual.

“Penggunaan mekanisasi dalam operasi ladang sawit telah terbukti meningkatkan produktiviti kerja sebanyak 38 peratus hingga 60 peratus dengan penggunaan jentera bagi pemunggahan buah sawit.

“Penggunaan Mesin Penuai Buah Sawit Bermotor atau CANTAS yang dibangunkan MPOB telah meningkatkan produktiviti penuaian melebihi 100 peratus iaitu 8.7 tan sehari berbanding 3.6 tan sehari dengan kaedah manual,” tambahnya lagi.

Tema persidangan ‘Amalan Mampan, Jaminan Kemakmuran’ ternyata bertepatan dengan usaha untuk mengangkat pekebun kecil dalam industri sawit negara.

Penganjuran persidangan ini akan memberi peluang kepada pekebun kecil, dan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sektor pekebun kecil, untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penggunaan teknologi dan amalan pertanian bagi meningkatkan hasil sawit. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.