Lelaki dikhuatiri lemas selepas cuba mendapatkan perahu

Spread the love

SARIKEI, 20 Sept: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba mendapatkan perahunya yang terputus tali akibat angin kencang di Muara Payang di sini, hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Aziz Yusuf yang berusia 43 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin, berkata seramai lapan anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian sejurus panggilan kecemasan diterima pada jam 4.41 petang.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika air sedang surut. Menurut laporan saudaranya, mangsa dipercayai cuba berenang untuk mendapatkan perahunya yang terlepas tali.

“Namun malangnya mangsa tiba-tiba tenggelam dan tidak timbul,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, laporan kehilangan mangsa juga sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Meradong. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.