Laluan trafik sekitar Hospital Miri dinaik taraf

Spread the love

MIRI, 20 Sept : Projek penambahbaikan jalan dari Jalan Padang Kerbau, Jalan Pujut Corner dan Jalan Miri-Bypass merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang antara lain bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membaik pulih aliran trafik di sekitar kawasan hospital dan kawasan lain yang selari dengannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato’ Sri Lee Kim Shin, memberitahu projek tersebut mengambil masa disebabkan oleh isu kekurangan tanah bagi membesarkan Jalan Padang Kerbau.

“Disebabkan oleh beberapa kompilasi, kita perlu mendapatkan tanah persendirian sebab tak cukup rizab jalan raya. Kita perlu mendapatkan tanah. Jadi itu mengambil masa. Sejumlah tanah persendirian akan digunakan bagi mengembangkan jalan kepada jalan raya berkembar dua,” katanya.

Lee berkata demikian ketika beliau melawat tapak projek pembinaan bangunan baharu yang masih di bawah pembinaan di Hospital Miri.

Ditambah juga dengan kawasan perumahan dan sekolah, hal ini menyebabkan Jalan Padang Kerbau sentiasa sesak dan berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Maka itu, Lee menggesa agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak lain yang terlibat mengutamakan projek ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku setiap hari dari Jalan Pujut menuju ke Jalan Padang Kerbau.

“Sebab itulah jalan ini perlu diberikan keutamaan untuk dipertingkatkan kepada jalan raya berkembar, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Jadi saya menggesa pihak JKR untuk meletakkan ini sebagai salah satu projek utama,” katanya lagi.

Selain itu, Lee juga mencadangkan penyediaan parkir kereta bertingkat bagi Hospital Miri sebagai satu cara untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam perancangan jangka panjang.

Antara punca kesesakan itu adalah kekurangan tempat letak kereta untuk menampung jumlah kakitangan hospital dan juga pelawat pesakit, sehinggakan ada di antara mereka yang terpaksa memarkir kereta di kawasan yang tidak sepatutnya.

Dalam pada itu, kata Lee lagi, bangunan lanjutan Hospital Miri dijangka akan siap dibina pada hujung tahun hadapan, bersama dengan Poliklinik Miri yang baharu dan bangunan Persatuan Orang Ulu yang terletak di sepanjang Jalan Padang Kerbau.

Menurutnya, jalan akses baharu sepanjang enam kilometer di kawasan hospital tersebut dijadual siap pada minggu hadapan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.