Kajian TROPI sangkal dakwaan penanaman kelapa sawit beri kesan kepada tanah gambut

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 20 Sept: Kajian mengenai impak penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut akan digunakan untuk menepis dakwaan negatif oleh pelbagai pihak mengenai industri kelapa sawit di Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, kajian saintifik yang dilaksanakan bukan sahaja melibatkan kepakaran tempatan tetapi juga kepakaran dari luar, termasuk dari Jepun, Korea Selatan dan United kingdom.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2008, Sarawak Tropical Peat Research Institute (TROPI) telah mengeluarkan banyak data mengenai impak aktiviti penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut dan industri itu kepada alam sekitar.

“Data yang dikeluarkan TROPI ini juga dapat digunakan untuk menangkis tuduhan yang telah dilemparkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dari luar negara mengenai penggunaan tanah gambut sebagai tempat untuk kita menanam kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Environment and Environmental Sustainability Towards Mitigating Climate Change” di Persidangan AsiaFlux 2022 di sini.

Len Talif dalam pada itu turut menyeru kepada rakyat sarawak serta agensi kerajaan berkaitan untuk terus membantu TROPI menyediakan data yang diperlukan bagi membantu usaha membangunkan industri kelapa sawit di Sarawak.

Pada masa sama, data tersebut menjadi asas kepada usaha untuk menepis tuduhan sesetengah pihak yang mempunyai agenda tersendiri dan mengganggu kemajuan dalam industri kelapa sawit negara.

“Sama-sama kita membantu TROPI menyediakan data supaya usaha kita untuk membangunkan negeri ini dalam industri kelapa sawit dapat dipertahankan dan tidak diremehkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan sendiri,” kata Len Talif.

Ketika ini, Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar minyak kelapa sawit di belakang Indonesia, di mana keseluruhan pengeluaran kedua negara tersebut menyumbang kepada 80 peratus bekalan minyak kelapa sawit dunia. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.