ASIAFLUX 2022 : Wadah antarabangsa bagi meningkatkan pengetahuan dan inovasi

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 20 Sept : Persidangan AsiaFlux 2022 diharap dapat meningkatkan pengetahuan selain mengukuhkan rangkaian kerjasama antarabangsa dalam bidang-bidang berkaitan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, menyeru kepada semua peserta untuk menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang yang disediakan bagi menggarap ilmu sebanyak mungkin.

Dengan penganjuran persidangan tersebut, peserta diharap dapat menimba pengalaman daripada saintis dan penyelidik antarabangsa yang hadir.

“Pengetahuan dan kebijaksanaan boleh berkembang hasil daripada pembelajaran. Inovasi tidak akan berlaku tanpa pembelajaran. Maklumat banyak yang kita terima akan membantu kita untuk lebih maju,” kata Sagah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Suai Kenal AsiaFlux 2022 di Sarawak Tropical Peat Research Institute (STROPI) di sini semalam.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengalu-alukan kedatangan peserta dari luar negara yang menghadiri persidangan.

“Sarawak merupakan wilayah terbesar di Malaysia dan mempunyai 45 kumpulan peribumi, dan setiap kumpulan memiliki tradisi, budaya dan kepercayaan mereka sendiri.

“Kami menghormati dan menerima perbezaan dalam kalangan kami dan sudah hidup harmoni selama bertahun-tahun dengan semua kaum,” katanya.

Persidangan AsiaFlux 2022 berlangsung pada 20 hingga 22 September di STROPI dengan tema ‘The Nexus of Land Use Change, Ecosystem and Climate: A Path Towards Sustainable Development Goals’.

Antara lain, persidangan itu diharap dapat membawa kepada penyelidikan dan kerjasama bermakna yang menyumbang kepada kemajuan dalam penyelidikan tanah gambut di Sarawak.

AsiaFlux 2022 merupakan acara berprestij yang dianjurkan dengan matlamat untuk memberi peluang kepada perwakilan membentangkan aktiviti penyelidikan mereka yang terkini, bertukar idea dan pengalaman baharu, selain menjalin hubungan penyelidikan dan meneroka kemungkinan bagi penyelidikan kolaboratif. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.