16 penghuni ‘hilang’ rumah, kebakaran di Bekenu

Spread the love
BATU NIAH, 20 Sept: Seramai 16 penghuni kehilangan tempat tinggal selepas rumah dua tingkat yang mereka diami musnah dalam satu kebakaran di Kampung Subak, Bekenu, kira-kira 52 kilometer dari Miri, pada pagi semalam.
 
Kebakaran tersebut juga memusnahkan empat buah kenderaan, termasuk dua buah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah motosikal.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II) Rary Binjie, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 pagi semalam.
 
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 12.46 tengah hari, kita mendapati api sedang marak, membakar rumah dua tingkat jenis separa kekal berkeluasan 70 kali 40 kaki persegi dan mempunyai enam buah bilik, dan empat dapur telah terbakar 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
 
Katanya, pemadaman dilakukan dengan menggunakan dua salur bantu mula pertama dan teknik pemadaman secara ‘offensive’ dan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
 
“Rumah tersebut didiami oleh empat buah keluarga, termasuk 10 orang lelaki dan enam orang perempuan. Kesemua penghuni telah berjaya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.
 
Bagaimanapun, empat buah kenderaan, termasuk sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Vigo dan Suzuki Jeep serta dua buah motosikal jenis Yamaha Legenda dan Honda EX-5 telah musnah 100 peratus.
 
“Kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dan api telah berjaya dikawal pada jam 12.49 tengah hari,” katanya lagi.
 
Menurutnya,kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan untuk memastikan tiada lagi punca api yang mungkin boleh menyebabkan kebakaran berulang setelah keadaan didapati selamat.
 
Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 3.30 petang.
 
Punca kebakaran dan nilai kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan pihak penyiasatan kebakaran Zon 6 Miri.
 
Rary berkata operasi pemadaman melibatkan seramai lapan anggota bomba dan operasi tersebut turut dibantu oleh empat anggota polis dari Balai Polis Bekenu. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.