UNIMAS yakin IBBC boleh cetuskan idea baharu untuk perkasakan pembangunan ekonomi Sarawak

Spread the love
KUCHING, 19 September : Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) komited meningkatkan pertumbuhan ekonomi pasca covid-19 menerusi pelbagai sektor di negeri ini.
 
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, berkata, pembangunan teknologi penting dalam pemulihan ekonomi menerusi langkah kerajaan negeri dalam strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).
 
“Usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri khususnya dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030, terdapat banyak sektor ekonomi yang dikenal pasti serta diberi keutamaan oleh kerjaan negeri dan pihak UNIMAS amat memberi sokongan dan kami sedang membariskan aktiviti khususnya penyelidikan dan juga program akademik bagi menyokong usaha kerajaan negeri dalam PCDS 2030.
 
“Ini sememangnya tepat pada masanya bagi menyokong usaha kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara datang daripada pelbagai sumber serta usaha kerajaan negeri Sarawak untuk mengubah ekonomi negeri kepada ekonomi digital,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan ke-10 International Borneo Business Conference (IBBC) 2022 di sini, hari ini.
 
Justeru, beliau berharap menerusi persidangan ke-10 yang dianjurkan itu, pakar dari luar dan dalam negara dapat berkongsi pendapat dalam memperkasakan usaha memulihkan ekonomi khususnya di Sarawak.
 
Untuk rekod, anjuran ke-10 International Borneo Business Conference (IBBC) 2022 akan berlangsung selama 3 hari bermula 19 hingga 21 September ini.
 
Penganjuran sidang tahun ini berjaya menarik 63 kertas kerja daripada pengamal industri, penyelidik tempatan serta penyelidik antarabangsa dari Indonesia, Kemboja dan Itali bertemakan “Kepelbagaian Ekonomi dan Kelestarian Perniagaan: Peluang Dan Cabaran”.
 
Antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universitas Tanjungpura, Indonesia dan American University of Phnom Penh, Kemboja (AUPP). – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.