Sarawak rancang laksana fasa kedua Projek Tukun Bebola Tiruan

Spread the love

KUCHING,19 Sept: Sarawak merancang untuk melaksanakan fasa kedua Projek Tukun Bebola Tiruan yang mengfokuskan kepada pemuliharaan marin dan eko-pelancongan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat bagi memperkasakan industri pelancongan air dengan memanfaatkan potensi industri berkenaan terhadap ekonomi Sarawak.

“Fasa kedua akan kita laksanakan dalam Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) yang mana kita akan salurkan peruntukan dan fasa kedua ini mempunyai hubung kait dengan promosi sektor pelancongan air iaitu aktiviti menyelam dan memancing.

“Hal ini kerana,kita boleh lihat ramai pelancong daripada Singapura datang ke Miri dan Telaga air untuk aktiviti ini dan kita boleh lihat banyak bot penduduk kampung disewa untuk tujuan aktiviti itu.

“Jadi, saya mengambil keputusan fasa kedua ini akan bemula dari sini hingga ke Miri,” katanya.

Ujar Abang Johari, objektif fasa kedua tersebut ialah untuk menambah kawasan pembiakan spesis ikan dan juga pembiakan batu karang bagi merancakkan lagi aktivti memancing dan menyelam di kawasan perairan Sarawak.

Ujar Abang Johari lagi, beliau optimis fasa kedua mampu memberi impak yang baik susulan keputusan positif yang diperoleh pihaknya pada fasa pertama.

“Dalam masa 2018 hingga 2022,kesannya amat positif, di mana sumber nelayan perikanan bertambah disebabkan bertambahnya sumber ikan dan kita telah menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada nelayan kita mengenai projek fasa pertama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan simbolik pelepasan tukun bebola tiruan ke 16,800 yang menandakan selesainya Projek Tukun Bebola Tiruan Fasa 1 (2018-2022)  di Jeti Telaga Air,Kuching,hari ini.

Untuk rekod, kerajaan negeri memperuntukkan RM 70 juta untuk perlaksanaan fasa pertama yang meliputi kawasan dari Tanjung Datu ke Lawas.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.