Sarawak harap hubungan dengan China terus diperkukuh – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 18 Sept : Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap agar hubungan Sarawak dengan China terus diperkukuhkan, seterusnya menyumbang kepada mencapai misi menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Premier Sarawak itu berkata, selama ini Malaysia dan China telah lama bekerjasama dalam pelbagai bidang yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Kata beliau, ini termasuklah pelbagai projek infrastruktur di Sarawak yang dilaksanakan dengan kerjasama negara berkenaan.

“Antaranya pembinaan Jambatan Batang Lupar yang merupakan jambatan terpanjang di Sarawak, kita bekerjasama dengan syarikat China,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-48 Persatuan Pengimport dan Pengeksport Perdagangan Kuching China di sini, hari ini.

Turut hadir dua timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta
Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China, Dato Sri Tiong King Sing.

Majlis turut menyaksikan kehadiran Konsul Jeneral China di Kuching, Xing Wei Ping, Presiden Persatuan Pengeksport dan Pengimport Kuching China, Datuk Yii Ming Tang serta Pengerusi Penganjur, Dato Sim Kiang Chiok.

Sementara itu, Abang Johari turut menyatakan harapannya agar pertumbuhan perdagangan dua hala membabitkan Malaysia dan China akan terus berkembang.

Beliau mendedahkan, nilai dagangan kedua – dua negara mencecah RM27.045 bilion pada tahun lepas.

“Bagi nilai eksport dari Sarawak ke China terutamanya komoditi termasuk gas asli cecair (LNG) mencatatkan RM18.633 bilion,” katanya.

Beliau menambah, bagi import pula, jumlahnya sebanyak RM8.4 bilion. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.