Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia di Limbang

Spread the love

LIMBANG, 19 Sept : Jejantas Tiga Laluan yang merupakan mercu tanda baharu bandar ini menjadi antara tiga lokasi di Sarawak dilimpahi cahaya berwarna jingga pada malam Sabtu.

Ia sebagai tanda solidariti sempena sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2022 yang disambut 17 September setiap tahun.

Residen Bahagian Limbang Sebi Abang berkata pemilihan Limbang untuk Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2022 di Malaysia merupakan pencapaian membanggakan di peringkat nasional terutama dalam aspek keselamatan pesakit.

“Kita di Limbang berasa sangat bertuah kerana telah dipilih sebagai salah satu tempat di Sarawak ini untuk sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2022.

“Ini merupakan satu usaha dan juga pencapaian sangat menarik khususnya kepada warga Limbang kerana kita telah mendapat perhatian daripada pihak pentadbir tertinggi khususnya bila bercakap soal keselamatan pesakit.

“Jadi kita ambil peluang ini untuk menghebahkan bahwa Limbang sekarang berkembang dalam kontek status pengubatan dan juga penjagaan pesakit dan ini merupakan satu tarikan,” katanya.

Jelasnya kamajuan Limbang dapat dilihat khusus dalam aspek perkhidmatan kesihatan dan perubatan pesakit di Hospital Limbang yang dilengkapi dengan doktor pakar perubatan.

“Kita difahamakan Hospital Limbang akan dinaiktaraf ke satu peringkat dimana banyak lagi doktor-doktor pakar akan datang untuk berkhidmat di Limbang.

“Hospital Limbang sekarang mengutamakan keselamatan pesakit kita sebab itulah malam ini mereka menggunakan warna oren yang merupakan warna rasmi di seluruh dunia berkenaan keselamatan pesakit,” katanya.

Sementara itu wakil Pengarah Hospital Limbang, Dr Nur Ain Yahya mendedahkan Hospital Limbang bakal dinaiktaraf status dari pakar minor kepada pakar major dengan penambahan jumlah doktor pakar perubatan bakal berkhidmat di hospital berkenaan.

“Hospital Limbang akan dinaiktaraf status daripada pakar minor ke pakar major.

“Kita memang sudah dah ada pakar kanak-kanak, pakar sakit puan, psikiatri dan juga radiologi.

“Jadi ke depannya dengan kedatangannya pakar anestesiologi dan pakar bedah akan meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Limbang,” katanya.

Selain Jejantas Tiga Laluan Limbang, dua lagi bangunan ikonik yang terpilih untuk Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2022 Di Sarawak termasuk lobi utama Hospital Sarikei dan Digital Billboard Taman Heritage Kuching.

Sinaran cahaya jingga menerangi jejantas tiga laluan di pusat bandar bermula pukul 7.30 malam yang dipenuhi dengan kehadiran petugas Hospital Limbang untuk menunjukkan solidariti terhadap program itu.

Program yang diraikan di serata dunia itu adalah resolusi serta usaha dalam meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan pesakit.

Warna jingga dipilih sebagai warna rasmi bagi Hari Keselamatan Pesakit Sedunia sekali gus menjadi simbol perlindungan kesihatan sejagat fokus bagi sambutan tahun ini adalah ‘Medication Without Harm’.

Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Disambut Pada 17 September setiap tahun bertujuan menyeru perpaduan global dan tindakan bersepadu oleh semua pihak untuk meningkatkan keselamatan pesakit serta mengiktirafnya sebagai keutamaan kesihatan global. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.